SEJARAH SEKOLAH

Latar Belakang Sekolah

Menurut cerita orang-orang lama yang layak dipercayai bahawa sekolah Melayu Gunung Panjang mula dibuka pada awal tahun 1907. Guru Besarnya yang pertama bernama Encik Ngah bin Ibrahim.

Sekolah ini didirikan oleh anak-anak tempatan secara bergotong-royong. Dindingnya diperbuat daripada tepas (kulit buluh yang dijalin) dan beratap bertam dan bertiang kayu. Keluasan bangunan tersebut kira-kira 30 kaki x 40 kaki persegi. Pengadang buluh digunakan untuk mengasingkan bilik-bilik darjah yang terdiri dari darjah 1 hingga 6.

Selepas perang dunia kedua iaitu semasa En. Mohd. Yasin menjadi Guru Besar diceritakan bahawa sekolah ini telah dilanda ribut kuat. Keseluruhan struktur bangunannya telah roboh. Memandangkan tentang keperluan pendidikan masa itu dan keselesaan murid-murid yang terdiri daripada anak-anak tempatan yang datang dari Kg.Gunung Panjang, Kg Chulek, Kg Gunung Mesah dan Kg.Jahang maka sebuah bangunan baru telah didirikan oleh kerajaan. Bangunan yang didirikan itu berdinding papan bercat putih, atap genting dan tiang gengal. Keluasannya kira-kira 30 x 80 kaki persegi. Setelah sekian lama di makan usia, bangunan tersebut kini telah dinaiktaraf menjadi bangunan separuh kayu dan berlantaikan simen. Kini bangunan tersebut digunakan sebagai bilik darjah tahun 3, Bilik Kemahiran Hidup dan Kelas Prasekolah.


Pada tahun 1954 hingga 1959 sekolah Melayu Gunung Panjang telah berpecah dua iaitu Sekolah Lelaki dan Sekolah Perempuan. Guru Besar yang menerajui Sekolah Lelaki ketika itu ialah Encik Yahya Bin Abdul Hamid manakala Guru Besar yang pertama bagi Sekolah Perempuan pula ialah Puan Fatimah Bt Haji Ibrahim.Manakala pada tahun 1960 kedua-dua sekolah tersebut disatukan semula sengan persetujuan Ahli Lembaga Pengurus dan kebenaran Jabatan Pendidikan Perak.

Pada tahun 1964 terdapat peningkatan dari segi bilangan murid iaitu seramai 320 orang.Keadaan ini telah mendesak pihak pentadbiran sekolah agar sekolah dibuka kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang.Oleh kerana pertambahan bilangan murid seramai 320 orang, pihak Jabatan Pendidikan telah menempatkan tenaga pengajar seramai 18 orang. Pada tahun tersebut juga pasukan Pengakap pertama ditubuhkan.Dengan itu ramailah murid-murid di sekolah ini yang menganggotai pasukan pengakap sekolah yang pada ketika itu dipanggil Anak Serigala. Mata pelajaran yang diajar pada masa tersebut ialah Bahasa Melayu, Ilmu Hisab, Ilmu Alam Pertanian, Kesihatan, Tulisan Jawi dan Agama Islam.

Memandangkan faktor penempatan agak statik dan pembinaan kawasan perumahan baru di pekan berhampiran iaitu Gopeng, maka berlakulah proses perpindahan penduduk dari kawasan kampung ke kawasan pekan. Akibat dari faktor tersebut bilangan murid di sekolah ini semakin hari semakin berkurangan bilangan murid.Sesi persekolahan dari dua sesi terpaksa diubah semula menjadi satu sesi. Sekolah satu sesi ini berkekalan sehingga hari ini.

Pembangunan di bidang pendidikan telah mengubah wajah Sekolah Melayu Gunung Panjang.Pada akhir tahun 1978 sebuah bangunan baru tiga tingkat didirikan dengan pembiayaan oleh Bank Dunia.Pembinaan bangunan moden tiga tingkat ini siap sepenuhnya pada awal tahun 1980.Bangunan ini terdiri daripada 9 buah bilik darjah. Bilik yang dijadikan Pusat Sumber Sekolah, Bilik Guru, Bilik Penolong Kanan dan Bilik Guru Besar. Sehingga hari ini Sekolah Melayu Gunung Panjang telah diubah nama kepada Sekolah Kebangsaan Gunung Panjang.

Popular posts from this blog